Kebangkitan Semula #60, Siapa Yang Mampu Menghalang?

streettuned

Kata orang tua-tua zaman dahulu “harimau yang cedera akan bertindak ganas apabila diganggu atau dicabar”. Gan Kim Koa yang bergandingan bersama Philip Tang dari JDM Racing membuktikan dan mengiakan kata – kata ini dan memberikan satu isyarat yang sangat jelas, jangan ganggu takhta Street Tuned Limited.

Gandingan mantap ini boleh dikatakan satu gandingan mantap dari tahun 2013 lagi. Mereka tidak pernah bersuara lantang di Facebook, tidak pernah muatnaik status di Facebook yang ingin mencabar pihak lawan. Cukup masa, jentera hebat, jika tiada masalah, burung layang-layang belum tentu dapat singgah di cermin sisi Honda Civic EF #60 ini.  Sudah bertahun suara-suara mahu menumpaskan mereka, tapi gagal. 2017 seakan ada peluang apabila buat pertama kalinya, mereka balik ke Melaka dengan tangan kosong apabila jentera hebat mereka ini menghadapi masalah dan peluang ini dirampas dengan jayanya oleh Shawal Izwan/Roakhir dari Infinity Speedworks #30.

Namun pusingan kedua harapan agar dapat melihat saingan sengit itu ada, terpadam sama sekali. Mereka kembali menduduki podium dan sudah pasti tempat pertama menjadi milik mereka semula. Tiada perasaan belas kasihan dari saringan pertama hinggalah saringan akhir mereka meninggalkan para peserta lain sangat jauh. Jarak antara tempat kedua sebanyak 6 saat suatu jarak yang sangat-sangat selesa. Soalannya pada pusingan ketiga ini siapa yang mampu tidak dapat memintas pun dapat memberikan satu tekanan yang sangat hebat pada gandingan ini?

streettuned2
Apakah #49 bakal memberikan suatu saingan sengit apabila lagenda bersama anak buahnya berganding?

Pada permulaan lap #800 seakan dapat memberikan tekanan namun menjelang lap 3 jarak antara mereka mula melebar. Tapi jika diikutkan prestasi Mohd Shalifuzam/Azref dari DRT/AAR Ftuned agak konsisten dari sudut catatan masa. 2 lap berturut-turut mencatatkan masa 2m43s dan jika mereka memperbaiki satu-dua kawasan yang mampu menyengat tidak mustahil gandingan ini akan memberikan tekanan kepada #60. Tapi itu yang berada ditempat kedua, perhatikan kedudukan ketiga jentera yang dipandu oleh Dzamir Shah yang bergandingan dengan seorang lagenda sukan permotoran Admi Shahrul dari SP Racing Team #49. Mereka bermula agak kebelakang kerana kurang mendapat kedudukan yang baik pada saringan pertama, menjelang saringan akhir Admi Shahrul menyempurnakan tugas sukar ini dengan baik dan menduduki tempat ketiga dan mencatatkan masa terpantas 2m42s. Dari sudut catatan masa terpantas nyata jentera #49 kurang 2 saat sahaja lagi dengan #60, tapi dari sudut keseluruhan masih sangat jauh jarak mereka. Apakah ini penanda bahawa cabaran terhadap #60 semakin hampir?

Soalan untuk pusingan ketiga, apakah kategori ini akan menjadi milik #60 lagi sekali? Apakah akan pencabar baru yang mampu mencabar #60? Persoalan ini sudah bermain selama 4 tahun, namun tiada siapa nampaknya mampu menghalang mereka. Mungkin pusingan ketiga ini akan ada?

Save the date : 20-5-2017 Megalap Time Attack, 21-5-2017 MSF Racing Pusingan ketiga. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *