Super 1500, Pusingan Kedua Yang Pasti Sengit

Suka atau tidak, Super 1500 telah mempersembahkan satu aksi perlumbaan yang sangat-sangat menarik. Kategori yang pada mulanya ada segelintir dari keturunan Dewa Kelajuan peringkat Asgard mengatakan kategori yang perlahan dan membosankan, kali ini pasti tercekik tulang ikan. Dengan kepantasan terbaru 2m45s yang menyamai kepantasan Street 1600 cukup mematikan hujah tersebut.

Saingan hebat #189 dengan #32 sememangnya sudah dijangkakan sejak dari pusingan akhir 2017. William Ho bergandingan dengan Ricky Siow memandu jentera #189 dari Momentom Auto Garage telah mengungguli tempat pertama. Mereka bermula dengan sangat baik pada saringan pertama apabila berjaya menepatkan diri di tempat pertama dan sekaligus memudahkan urusan mereka menduduki tempat pertama pada saringan akhir kelak. Namun pada saringan akhir, K.Logesvaran #32 dari MTRD Sing Boy Racing yang pada saringan pertama mengalami sedikit masalah telah bersaing dengang begitu hebat menjelang saingan akhir. Kedua-dua jentera ini mampu menjadi juara, mereka telah bersaing dengan begitu rapat di setiap selekoh sehinggalah ruang yang terbuka buat William Ho untuk memintas dan sekaligus menjadi juara. Percayakah anda, betapa sengitnya pertempuran mereka pada pusingan pertama baru – baru ini hanya dibezakan 0.176 saat sahaja!

Pada mata kasar pertempuran merebut tempat pertama dan kedua ini mungkin hanya melibatkan dua jentera ini. Kedua-duanya telah memberikan satu aksi persaingan yang sangat memukau. Bagaimana pula tempat ketiga? #378 Shahril Noorafudin dari Smartroluem-RAB ProDrag Racing Team mungkin akan bersaing dengan #122 Keu Sian Shi dari Momentom Auto Garage. Jika dilihatkan prestasi sekarang persaingan tempat ketiga ini mungkin melibatkan dua jentera ini. Itu anggapan, mungkin pada pusingan kedua semuanya boleh berubah. Mungkin #378 mampu mengubah jangkaan awal ini? Mungkin akan datang pencabar baru yang boleh mengganggu-gugat tempat teratas dalam kategori ini.

Pusingan kedua lebih mencabar. 10 laps, penggunaan tayar, strategi pit dan ketahanan enjin taruhan untuk muncul juara. Super 1500 majoritinya dikuasai oleh jentera 4G91 dan satu-satunya kategori yang didominasi dari zaman 2016 hingga sekarang oleh jentera dari Mitsubishi ini. Mungkinkah pada pusingan kedua ini 3sz dari Daihatsu memecahkan dominasi ini atau D15B Honda akan menyengat?

Sama-sama kita nantikan pada 8/4/2018 di Litar Sepang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *