Super Production, Kebangkitan Vios

Setelah dominasi secara mutlak tempat tiga teratas oleh jentera Honda Jazz dalam kategori ini akhirnya Toyota Vios mula menggerakkan otot, mula menayangkan kuku dan mula mempamerkan kekuatan. Buat pertama kalinya dominasi Honda Jazz ini dileraikan.

#139 gandingan mantap Sobree dari Thailand dan jagoan Malaysia Yuszaidi yang menggunakan Toyota Vios akhirnya menduduki tempat kedua. Kemenangan mereka menimbulkan tanda tanya. Ada yang mengatakan enjin mereka tidak ikut spesifikasi yang ditetapkan namun apabila diperiksa ternyata mengikuti segala peraturan teknikal. Ada yang mengatakan jentera mereka laju namun dalam onboard video ternyata jentera mereka ditinggalkan bagai sayur kailan ikan masin. Namun kekuatan Vios ini terletak pada pemandu mereka. Mungkin ada yang tidak mengenali Yuszaidi atau Edy, antara pelumba yang hebat tapi low profile dan tidak pukul canang di Facebook. Mereka berjaya memberikan saingan sengit kerana mereka amat pantas di selekoh.

Ya, amaran atau loceng amaran buat #411 untuk Roni Misman. Masa anda untuk bersenang-lenang sudah tamat. Cabaran terhebat buat Roni akhirnya muncul. Andai kata jentera #139 ini dilakukan lagi sedikit pengubahsuaian yang dibenarkan dalam peraturan tidak mustahil tempat pertama bakal menjadi milik mereka pada pusingan ke-3 ini. Tapi mudahkah sasaran mereka tercapai?

Perhatikan kemaraan bekas juara Jazz Cup #343 yang juga semakin pantas. Perhatikan juga penggerak Honda Jazz #86 Nazrul Hakim juga semakin pantas dengan masa 2m52s. Kami menjangkakan akan berlaku pertempuran besar antara Jazz dan Vios. Bagi kawanan Jazz sudah pasti takhta tiga teratas wajib dipertahankan, bagi kawanan Vios sudah pasti menikmati tempat podium akan diulangi oleh mereka.

Jazz atau Vios? Tunggu 8/7/2018 di Litar Antarabangsa Sepang!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *