MSF Superturismo : MSF Ultimate Masters, Perang Antara 3 Kuasa Besar

Suka tidak suka, kategori ini tetap mewakili keghairahan orang ramai untuk datang ke Litar Sepang, semata-mata mahu menyaksikan kepantasan luarbiasa jentera perang yang amat “dahsyat” ini. Mereka ini pantas, dengan aerodinamik yang sangat berkesan dan masih tetap mematuhi peraturan MSF, himpunan para pemilik bengkel terbaik di Malaysia dan sudah pastinya pelumba Malaysia. Meskipun semua memakai tayar jenama yang sama Hankook, tetapi tayar jenama ini sememangnya antara terbaik di dunia kerana mampu menerima tekanan dari kereta yang mempunyai kuasakuda lebih dari 400 kuasakuda.

Perang 3 kuasa besar, perang 3 jeneral perang, perang 3 bengkel hebat. Perang yang bakal menentukan halatuju kejuaraan MSF Ultimate Masters pada dua pusingan akhir nanti. Alif Hamdan #21 dari MilleniumFatboy Penrite yang menggunakan Proton Satria 4wd bernadikan enjin 4G63t sekarang memegang rekod terpantas 2m16s dalam MSF dan juga sekarang memegang tampuk kejuaraan kategori ini dengan pungutan mata 595 mata. Mengekori rapat ekoran kegagalan #21 menamatkan perlumbaan, Keifli Othman #560 dari Fast Autoworks yang memandu Honda EG6 K24 dengan catatan masa terpantas 2m18s. Beza antara mereka berdua hanyalah 30 mata. Juga mengintai kejuaraan ini, Faidzil Alang #29 dari Speed Demon Motorville Racing Team yang menggunakan Honda EG6 Vtec Turbo yang turut mencatatkan masa 2m18s, ketinggalan 85 mata dari pendahulu kejuaraan. Ketiga-tiga mereka boleh dikatakan antara yang terbaik. Ketiga-tiga juga menggunakan jentera yang ada kelebihan masing-masing. Ketiga-tiga juga watak yang amat dinantikan untuk bertempur habis-habisan oleh para penonton. Ianya umpama melihat Brazil menentang Argentina di pentas akhir Piala Dunia.

Dari sudut kekuatan dan kelebihan ternyata ianya memihak kepada #21. Berkuasa, terpantas dan mempunyai jeneral yang baik. Namun pada pusingan ketiga tempoh hari, terbabas di selekoh keempat sudah pasti sedikit sebanyak memberikan sedikit tekanan. Kerana sudah pasti di dalam pusingan kali ini yang lebih lama dan panjang akan sedikit sebanyak mengganggu prestasi jentera turbo. Persoalannya apakah strategi beliau atau lebih tepat pasukan beliau untuk memastikan jentera mereka tidak memberikan sedikit pun masalah?Kerana diasak oleh Keifli Othman #560 yang menggunakan jentera NA terkenal pulak sebagai Darth Vader memerlukan jentera yang sihat. Bagi Faidzil Alang #29, pusingan ini sudah pasti akan membalas kembali kekecewaan apabila turut gagal menamatkan perlumbaan. Ketiga-tiga mereka mempunyai kekuatan seimbang dan sudah pasti pertempuran kali ini tidak dapat kita jangkakan.

Bagi 3 kuasa besar bengkel Fatboy, Fast Autoworks dan juga 22Proshop, sudah pasti medan kali ini akan menjadi yang dinantikan. Bagi Fast Autoworks sudah pasti sedikit sebanyak mahu membuktikan jentera NA masih lagi penakluk kategori ini. Bagi Fatboy sudah pasti setelah segala turun – naik yang mereka hadapi akan dibalas. Manakala bagi 22Proshop, menghibridkan vtec dengan turbo sudah pasti menjadi harapan untuk unggul di tempat pertama.

Ramalan? Tiada ramalan yang dapat diberikan. Anda sendiri perlu datang ke Litar Sepang untuk menyaksikan perang 3 kuasa besar ini pada 31 Ogos 2019.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *