MSF Merdeka Race : Wenso Racing Muncul Pemenang di Sebalik Keributan Dan Kejutan Dari Jakarta

Pusingan khas Malaysia Speed Festival iaitu MSF Merdeka Race yang bersifat enduro telah berlangsung dengan jayanya. Dengan kehadiran orang ramai bermula dari pagi hingga tengah malam berjumlah hampir 7,000 orang telah menambahkan lagi kemeriahan acara perlumbaan ini malah, turut mendapat penyertaan dari 300 buah kereta dari kelab – kelab kereta di seluruh negara. Ianya turut mendapat penyertaan 201 buah kereta lumba dan 80 buah motorsikal lumba bersamaan hampir 300 orang pelumba bagi kereta dan motorsikal. Para hadirin juga turut menyanyikan lagu kebangsaan sempena hari kemerdekaan negara kita ini.

MSF Superturismo

Pada saat kita menganggap akan dapat menyaksikan pertempuran sengit antara tiga jentera yang hebat di dalam kategori MSF Ultimate Masters, Wenso Racing telah muncul sebagai pemenang. Alif Hamdan yang memandu Proton Satria 4WD #21 dari MileniumFatboy Penrite menjadi tumpuan utama telah gagal sama sekali apabila jentera yang dipandu masalah mekanikal sekaligus meranapkan misi mempertahankan kejuaraan dan memenangi pertempuran yang digambarkan pertempuran terhebat abad ini. Peluang ini cuba direbut sebaik mungkin Keifli Othman yang memandu Honda EG6 K24 dari Fast Autoworks #560 namun turut kecundang di selekoh kedua-belas. Tinggal seorang sahaja iaitu Faidzil Alang dari Fawster 22Proshop #29 yang memandu Honda EG6 Vtec Turbo mengambil peluang keemasan ini.

Namun menjelang isyarat kemasukan pit diberi, #29 mula bergelut dengan masalah petrol. Jentera mereka yang sangat berkuasa harus memperlahankan rentak supaya dapat menamatkan perlumbaan. Maka saat inilah yang #50 Wenso Racing yang dikemudikan oleh Azlan Malik muncul untuk berada di tempat pertama. Dengan konsisten beliau mempertahankan tempat pertama dan sekaligus mengambil bendera penamat dengan perbezaan antara #50 dan #29 sebanyak 8saat itu pun setelah diberikan penalti. Disebalik keributan, Wenso Racing memberikan amaran jelas buat semua, bahawa mereka bersedia untuk memberikan tamparan hebat buat semua peserta lain dan kejuaraan bagi kategori teragung ini bakal menjadi miliknya.

MSF Superbikes

Bagi kategori Super 1000 Group A, Azwan Malek #34 gagal menamatkan perlumbaan ekoran masalah enjin yang beliau hadapi. Masalah mula dihadapi ketika sesi kelayakan kerana jentera yang ditunggang baru sahaja siap pada malam hari Jumaat. Ketika perlumbaan dijalankan #34 tidak menamatkan perlumbaan dan ini membuatkan kejuaraan bagi kategori ini dibuka semula. Menjelang pada pusingan akhir, sudah pasti menjanjikan aksi yang paling menarik buat kita semua.

Pusingan kali ini, MSF Superbikes dikejutkan oleh peserta dari Indonesia. Menggunakan motorsikal BMW S1000RR dari Pertaminaenduro HKM Racing Team, Ali Adriansyah yang juga merupakan penunggang berkelas dunia dari siri World Superbikes #212 telah memenangi tempat pertama dengan bergaya. Dengan konsistensi yang ada, catatan masa terpantas pada pusingan kali ini iaitu 2m13.016 cukup untuk beliau memenangi tempat pertama dengan jarak sebanyak 8 saat dari peserta lain. Tempat kedua dimenangi yang boleh dikatakan salah satu pelumba terbaik tanahair Farid Badrul yang menunggang Kawasaki ZX6R #833 dari Horizan Racing Team. Mengejutkan juga kerana rata-rata menggunakan motorsikal bersasarkan 1000cc, beliau hanya menggunakan 600cc dan ini sedikit sebanyak sudah pasti dari sudut kelajuan di laluan lurus tidak dapat ditandingi oleh mereka yang mempunyai enjin yang lebih besar. Farid sedaya-upaya menunggang untuk merapatkan kedudukan. Namun dengna defisit yang ada, Farid berpuas hati di tempat kedua namun dengan catatan masa 2m13.835 bagi motorsikal 600cc ianya boleh dikatakan amat menggerunkan hingga timbul sembang-sembang di paddock apakah beliau akan muncul lagi tetapi dengan motorsikal 1000cc? Bagi kedudukan kejuaraan, Jia Hao #219 berjaya merampas kedudukan kejuaraan dari tangan Azwan Malek meskipun hanya berjaya menduduki tempat keempat.

MSF pusingan seterusnya buat MSF Superturismo bakal berlangsung pada 13 Oktober 2019 di Litar Sepang.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *