Pusingan Khas, Pusingan Takluk Asia

Home»News»Pusingan Khas, Pusingan Takluk Asia

Apabila anda membaca artikel ini, bermakna gendang perang secara rasmi dipalukan. Panggilan buat pahlawan-pahlawan MSF yang sekian lama berehat untuk kembali bangun dan bertempur. Malaysia tenang 2 bulan ini, masa untuk gegak-gempitakan arena permotoran negara. Malaysia Speed Festival musim 2019 bermula.

Pusingan kali ini merupakan pusingan khas. Malaysia Speed Festival diberi penghormatan untuk bergandingan dengan China GT untuk menjayakan pesta motorsports anjuran Asia GT Festival selama 3 hari bermula pada 15, 16 dan 17 Mac di Litar Sepang. Percayalah, pusingan kali ini akan menjadi lipatan sejarah dan kenangan buat anda yang datang pada 3 hari ini. Anda akan dapat menyaksikan kepantasan luar biasa jentera GT4, GT3 dan GTC. Dengan harga tiket yang amat berbaloi bermula dari RM20.00 di kawasan grandstand, jangan lepaskan peluang ini. Dengan bayaran sebanyak ini anda akan dapat menyaksi padat dengan aksi-aksi perlumbaan dari jentera China GT dan dari Malaysia Speed Festival. Pusingan ini hanya setahun sekali dan inilah peluang anda yang berada di sekitar Sepang khasnya dan seluruh rakyat Malaysia amnya.

Bagi MSF, pusingan khas ini juga bermakna pusingan pertama buat musim 2019. Siapa yang bakal mendapat kedudukan podium yang pertama pada 16 dan 17 Mac nanti. Pintu kejuaraan bagi semua kategori dibuka semula. Seperti biasa kita akan bahaskan siapa yang dijangka menyerlah bagi setiap kategori yang dipertandingkan dan apa yang dijangka akan terjadi pada pusingan pertama kali ini. Ada beberapa perubahan peraturan teknikal antaranya penggunaan tayar Hankook RS4 bagi kesemua kategori Street, sudah pasti catatan masa akan menjadi lebih pantas dan perlumbaan juga menjadi bertambah pantas. Paling menarik adalah apabila Bapa Otomotif Negara Tun Dr Mahathir Mohamed akan turut serta dalam festival ini dan beliau bersetuju untuk melepaskan (flag off) kategori Sagacup pada hari terakhir yakni 17-Mac-2019.

Gambar ini mengimbau kenangan Tun Mahathir membuat lawatan di kilang Proton untuk menyaksikan persiapan terakhir. Sejarah 30 tahun!

Buat anda semua yang berada di sekitar Litar Sepang, Bandar Enstek, Nilai, Seremban, Bandar Baru Bangi, Kajang, Putrajaya dan seluruh rakyat Malaysia. Inilah masanya untuk menyaksikan perlumbaan yang paling dalam sejarah negara. Dengan tiket yang berpatutan anda akan berpuas hati. Simpan tarikh ini, 15-17 Mac 2019 di Litar Sepang.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Close
loading...